Make your own free website on Tripod.com

ULASAN MENGENAI PENGAMBILAN SEMULA NOOR HAYATI MEMASUKI UTM
07-09-2001
Ghazali Mat Dom

Politik dewasa ini amat sensitif. UMNO senantiasa di perhatikan. Setiap perbuatan dan setiap tindakan akan di kritik oleh pembangkang. Kalanya perkara-perkara yang tidak melibatkan UMNO dikatakan UMNO bertanggung jawab kerana UMNO sedang memerintah.

Apa pun hari ini saya dikejutkan dengan berita pengambilan semula Noor Hayati ke dalam UTM. Dalam keadaan yang begitu sensitif ini pengambilan semula Noor Hayati hanya menampakkan kepincangan dalam sistem kita yakni hubungkait kenyataan Noor Hayati dengan habuan yang beliau terima terhadap kenyataan tersebut.

Noor Hayati dikatakan di beri semula peluang memasuki UTM kerana beliau telah terpengaruh dengan gerakan aktivis pelajar yang tidak berdaftar. Kesilapan ini dan akuan sumpahnya telah menjadi lesen untuk beliau di beri ganjaran. Apakah implikasi membenarkan semula kemasukan Noor Hayati kepada politik UMNO? Saya amat memandang berat perkara ini.

Apakah ini tidak mendatangan kecurigaan motif dan tujuan Noor Hayati memberi kenyataan tersebut? Ini telah menimbulkan kesangsian pendedahan Noor Hayati, lalu kredibiliti kenyataan itu akan terus dipersoalkan dan nampak seolah-olah kenyataan tersebut bermotifkan kepentingan peribadi bagi Noor Hayati.

Jangan salah sangka terhadap saya. Saya percaya ada beberapa rakan UMNO yang sudah dan akan menuduh saya terpengaruh dengan pembangkang tetapi hakikatnya saya mahukan kebenaran dan bukan kepalsuan. Andai kita di letakan dalam situasi yang sebegini, nescaya kita akan mengatakan bahawa kenyataan Noor Hayati adalah kerana beliau mahu mendapatkan sedikit habuan dan habuannya adalah membenarkan beliau kembali menuntut di UTM. Dengan itu biar benar mana kenyataan Noor Hayati pun ianya pasti menimbulkan cuak wasangka orang ramai.

Apakah merit yang sama boleh di lakukan atas kesalahan lain seperti terpesong dengan Black Metal lalu tercampak dari Universiti, kemudiannya kesal dan membuat akuan bersumpah mengenai pembabitan dalam budaya muzik Black Metal lantas boleh diterima semula memasuki Universiti?

Apakah merit yang sama boleh diberi kepada pelajar yang tercampak dari Universiti kerana tidak cukup wang untuk membeli kemudahan pembelajaran lantas terpaksa berkerja sebelah malam di 7 Elevan lalu kandas dalam pelajaran boleh ditimbang semula untuk meneruskan pelajarannya.

Saya percaya pihak pembangkang akan mengatakan bahawa sekiranya kenyataan itu ada hubungkait dengan politik khususnya untuk "discredit" pembangkang maka kemasukan semula ke Universiti boleh dirundingkan semula.

Kita tidak boleh menganggap rakyat masih mudah terikut dengan alasan yang kita berikan. Rakyat hari ini penuh dengan kesedaran politik dan UMNO sendiri sudah merasakan kehanyatan cabaran mereka khususnya kaum melayu. Andai ini tidak disedari maka kita akan terus terpinggir dan akan terus melakukan kesalahan sehinggakan rakyat mula mual dan bosan terhadap kita.

Jangan sampai perkara itu berlaku. Saya percaya mereka yang terlibat dalam isu Noor Hayati harus mengkaji semula senario tersebut. Pendedahan Noor Hayati memang membuka mata kita tentang wujudnya sentimen pembangkang dalam masayarakat pelajar tetapi dengan habuan kepada Noor Hayati menerbitkan seribu kesangsian kebenaran pendedahan beliau.

Ghazali Mat Dom