Make your own free website on Tripod.com

Azahari berpesan kepada peminat , kepada anak dan isterinya, dia meninggalkan kasih sayang yang tidak ternilai. Kepada jutaan peminatnya, dia meninggalkan pesanan yang diungkapkan dalam lagu terakhir nyanyiannya bersama tiga rakan lain dalam kumpulan Raihan.

Lagu Demi Masa yang dimuatkan dalam album terbaru Raihan dianggap sebagai pesan terakhir ketua kumpulan nasyid kontemporari paling berpengaruh itu, Azahari Ahmad sebelum menghembuskan nafas terakhir malam kelmarin.

Allahyarham Azahari yang berusia 33 tahun meninggal dunia selepas menghadiri majlis Anugerah Era anjuran Radio Era di Genting Highland kerana sakit jantung.

Allahyarham yang meninggalkan seorang balu, Hazura Hamdan dan tiga anak yang berusia antara tiga hingga enam tahun itu mengadu sakit selepas majlis tersebut dan terjatuh di bilik penginapan di pusat peranginan itu.

Lagu Demi Masa yang dimuatkan di dalam album itu antara lain memesan supaya mengingati ``lima perkara sebelum datang lima perkara''.

Album Demi Masa itu akan dipasarkan seluruh negara esok setelah dua tahun Raihan tidak muncul dengan album baru.

Allahyarham yang membahasakan diri sebagai Zarie itu mengidap penyakit asma sejak beberapa tahun lalu kelihatan kurang sihat sejak seminggu lalu.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam Kampung Baru Tanah Putih, Pekan, Pahang iaitu di kampung halaman keluarga Hazura selepas waktu Asar semalam.

Dalam pertemuan Selasa lalu, Allahyarham berkata, hasratnya untuk menampilkan Raihan sebagai sebuah kumpulan yang lebih matang selari dengan usia kumpulan itu yang mencecah lima tahun.

Allahyarham juga memberi pendekatan baru untuk lagu yang ditujukan khas kepada kanak-kanak iaitu bercorak penceritaan sejarah Islam.

``Dulu lagu kami kepada kanak-kanak lebih bercorak hafalan dan kali ini penceritaan sejarah kerana kami sedar orang kita tidak gemar membaca,'' kata Allahyarham dalam temu bual itu.

Dalam pertemuan itu dia turut bercerita pengalaman mengerjakan umrah bersama anggota Raihan dua minggu lalu.

Raihan adalah sebuah kumpulan nasyid yang mencipta sejarah apabila album pertama berjudul Puji Pujian dijual melebihi 600,000 unit iaitu jumlah tertinggi bagi jualan album di negara ini.

Kejayaan mereka juga telah memberi ilham kepada banyak kumpulan lain untuk muncul menghasilkan album nasyid secara komersial.

Sebelum menganggotai Raihan, Allahyarham pernah bersama kumpulan nasyid The Zikr dan menghasilkan beberapa buah album yang dipasarkan menerusi di kedai buku agama.

Allahyarham dan anggota Raihan yang lain turut berlakon dalam filem Syukur 21 membawakan watak kumpulan Raihan dua tahun lalu.

Mereka juga telah diundang mengadakan beberapa siri konsert di Pulau Jawa, Indonesia November depan.

Semasa hayatnya, Allahyarham dikenali sebagai seorang yang pemurah terutamanya bersedekah kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Semasa mengikuti Allahyarham di sebuah perkampungan di Yogjakarta ketika menjalani penggambaran filem Syukur 21, Allahyarham membeli semua sayur yang dijual oleh seorang pekebun dan memberi sedekah kepada orang ramai yang sedang memilih sayur itu.

Allahyarham juga seorang yang cintakan keindahan dan ketenangan. Malah Allahyarham sendiri yang menyusun letak perabut dan hiasan dalaman di rumahnya di Bandar Sri Damansara.